Pancing Layang

Pancing layang, walaupun tidak ramai yang berani menceburinya sepenuh hati di Tanah Malaya Bersatu ini, namun ianya adalah sesuatu yang sudah diketahui umum. Mungkin 15 tahun lepas, jika sesiapa terserempak dengan seseorang yang sedang melayang di sungai atau kolam, mungkin akan menimbulkan kemusykilan bagi mereka. Tapi tidak hari ini. Ia sudah tidak menjadi sesuatu yang ganjil lagi. Malah, bagi beberapa kerat insan “istimewa”, pancing layang sudah menjadi sesuatu yang menjelekkan mereka. Jadi untuk dikupas kembali definisi dan penjelasan tentang pancing layang ini akan menjadi sesuatu yang cukup membosankan. Semua orang sudah tahu. Tetapi memandangkan kuota pemikiran manusia di Malaysia yang masih mendambakan sogokan pengetahuan dalam proses pendapatan pemahaman ringkas, maka terpaksa jugalah ianya dikupas satu persatu. Jadi bagi mereka yang sudah mula menguap atau pedih mata di tahap ini, anda disarankan untuk menyelak ke halaman seterusnya atau menutup terus blog ini demi kebaikan diri sendiri.

Jadi – apakah itu ‘pancing layang’?  Terlintas aku satu fakta yang tidak diketahui ramai; fakta yang terlalu rare sehinggakan mereka yang memegang sebarisan sijil kusam penganugerahan persatuan & organisasi elitis pun tidak tahu – yang mana teknik pancing layang ini sebenarnya dimulai dengan pengaplikasian umpan layang tenggelam seperti profil nimfa serangga, cacing, ikan kecil. Tetapi di penghujung kurun ke-19, sebilangan besar populasi trout dikenalpasti mendiami sungai chalkstream di England yg dipenuhi rumpai yang mempunyai rangkaian dedaun yang tumbuh hampir dengan permukaan air, yang membantutkan hasrat mana-mana pelayang untuk mempersembahkan umpan layang berprofil tenggelam, teknik umpan layang terapung mula diperkenalkan. Kumpulan umpan layang ini seterusnya dinamakan ‘dry fly’ – dan di saat inilah teknik ini secara tidak rasminya dinamakan ‘fly fishing’ – yang mana perkataan ‘fly’ itu datangnya daripada beberapa familiae spesis serangga mayfly dan damselfly yang merupakan antara profil pertama dan utama yang ditiru untuk penghasilan umpan layang dry fly awal itu.

Menarik. Tetapi yang sesungguhnya lebih menarik adalah pemerhatian penamaan ‘pancing layang’ ini jika dilihat dari segi aplikasi bahasa Melayu kerana kedua terjemahan langsungnya dan juga aplikasi maksudnya bertindih dalam satu label yang cukup tepat dan jelas. ‘Fly’ = ‘melayang’ dan ‘fishing’ = pancing; maka ‘fly fishing’ = ‘pancing layang’. Bukan itu sahaja, maksudnya itu juga seraya melambangkan salah satu elemen penting dan unik untuk aktiviti ini. Siapa yang pertama sekali mengetengahkan perkataan ‘pancing layang’ perlu dipuji kerana insan ini telah mencirikan sukan ini dengan tepat dan jitu – kerana jika diperhatikan, tiada kaedah atau genre pancingan lain yang memerlukan pemancing untuk ‘melayang’ tali. ‘Membaling’, ‘melontar’ mungkin lebih sinonim dengan pancingan konvensional tetapi ‘melayang’ sememangnya dimiliki oleh cabang pancing yang satu ini. Terminologinya merupakan gabungan dua kata kerja yang biasa. Semua orang sudah arif dengan ‘pancing’ dan semua orang sudah faham dengan ‘layang’. Dan jika anda tergolong dalam kumpulan manusia ini, anda sudah berada di landasan pemahaman yang betul. Tetapi kenapa ‘melayang’? Kenapa perlu? Perkataan itu sendiri melambangkan satu perkara yang remeh dan leceh. ‘Membaling’ atau ‘melontar’ kedengaran lebih senang dan jelas. Bagi manusia pancing (kebanyakan), mereka akan berfikir mengapa perlu disusahkan sesuatu yang dijuruskan untuk dinikmati? Macam tak berapa lojik saja? (Kita akan balik kepada persoalan ini nanti).

Maka dari segi bahasa, di Malaysia mungkin penekanan maksudnya lebih kepada aspek ‘layangan’ berbanding dengan di England / Eropah di mana ia lebih berkait rapat dengan umpan layangnya. Apa pun, keduanya menyampaikan mesej dan maksud yang sama dan jelas. Jadi dalam pancingan layang, pemancing itu dijangkakan untuk ‘melayang’ dan juga berhadapan dengan penggunaan umpan yang ‘ringan dan kecil’. Jadi jika anda boleh menerima dua hakikat ini, mungkin anda boleh teruskan niat murni untuk mencuba pancing layang. Tapi jangan suka sangat – artikel ini ada multi-bahagian. Habiskan dulu baca kesemuanya sebab sesungguhnya ia boleh merubah hati dan persepsi.

Sekarang kita kupas pula perihal ‘melayang’ ini. Dan untuk ini, ada baiknya kita rujuk kembali kepada pensejarahan awal pancing layang yang bermula di England kurang lebih 5 abad yang lalu. Seperti yang dihuraikan di atas, ianya bermula dengan penemuan dan kegilaan tentang satu spesis ikan brown trout (Salmo trutta) yang menggemari diet serangga spesifik pada masa tertentu, pemancing di abad itu mula mengevolusi kaedah pancingan mereka. Mereka mengadaptasi profil sesuatu diet spesis itu menggunakan buluan organik setelah usaha awal untuk mencangkuk terus serangga itu ke matakail dibuktikan sukar. Dan apabila mereka dihadapkan lagi dengan cabaran untuk menghantar umpan berprofil serangga kecil yang ringan itu dalam satu jarak yang dikehendaki, inovasi pemintalan bulu ekor kuda yang diolah menjadi tali pancing berpemberat bermula. Tali inilah yang mereka akan LAYANG berulang kali dalam usaha untuk menggamit jarak penghantaran umpan yang dikehendaki. Secara tidak langsung lahirlah teknik ‘fly casting’. Dan pada masa ini jugalah, pancingan layang menginjak dari taraf gasar kepada moden dan segala dokumentasi dimulakan.

Mereka kemudiannya pula mula bereksperimentasi dengan penggunaan joran dan kekili paling asas apabila saiz dan spesis ikan yang disasar menjadi lebih besar dan ganas. Evolusi ini berterusan sehingga hari ini di mana pelbagai teknik layangan dan teknologi perkakasan pancing layang diperhalusi – walaupun pada kadar yang lebih perlahan dari sebelumnya. Hari ini, sudah ada beratus teknik layangan yang dicipta bersesuaian dengan spesis dan geografi, pintalan ekor kuda sudah diganti dengan bahan termoplastik, joran sudah dibancuh dengan karbon dan kekili sudah dihiasi kewarna-warnian  – namun konsep tradisi dan etika pancingan layang masih tetap sama. Setiap pancing layang mesti ditemani umpan tiruan yang dinamakan fly (lelayang) dan ianya mestilah dipersembahkan dengan ‘fly casting’ atau ‘melayang’ lelayang itu ke titik sasaran. Kehadapan 5 abad, disiplin dan perkataan ‘fly casting’ ini diterjemah ke bahasa Melayu dan disebut sebagai ‘layangan’. Layangan, selain dari umpan layang (lelayang), merupakan aspek terpenting – yang perlu dipelajari, disempurnakan dan dilaksanakan jika anda ingin bergelar seorang pemancing layang. (Baca di sini betul-betul; perkataan itu adalah ‘pelayang’ sahaja dan bukan ‘pelayang yang hebat dan berkaliber’).

Leceh? Remeh? Susah? Payah? Memang pun. Tidak dinafikan. Apa lojik di sebalik semua disiplin ini? Nak kena susah-susah belajar melayang. Tempat memancing (itu pun kalau ada) perlu dipilih yang ada ruang untuk buat layangan. Lepas itu kena pula buat umpan lelayang sendiri? Duit lagi, tenaga lagi, masa lagi. Kalau berjaya buat semua ini pun, kita baru boleh digelar sebagai ‘pelayang’ sahaja. Bagaimana pula kalau nak jadi ‘pelayang yang hebat dan berkaliber’? Apa pula yang perlu dibuat?! (Bukankah hari ini kita semua sama kepingin untuk bergelumang dalam glamorisma singkat?) Kenapa para pelayang ini suka nak menyusahkan diri sendiri? Bukankah lebih senang sangkut saja cacing di matakail, lontarkannya dan tunggu? Atau pakai saja gewang mahal yang boleh dihantar ke lubuk ikan dengan sekali balingan?

“Malangnya”, dalam mencari semua jawapan di atas, anda perlukan seorang guru. Memang tidak ramai manusia yang bijak dan faham tentang pancing layang di Malaysia ini yang boleh dijadikan tempat rujukan, yang layak dijadikan guru. Elusif. Namun jangan pula kita pergi merujuk pada yang (kononnya) tahu. Ramai di Malaysia ini, 7 daripada 10 manusia yang mengaku diri mereka pelayang adalah golongan yang suka bercakap berdegar-degar melalui punggung kononnya tahu tentang pancing layang – malahan lebih ramai daripada mereka yang betul-betul tahu. Lawak. Tapi yang dia tahu sebenarnya hanyalah memancing ikan menggunakan peralatan pancing layang. Itu saja. Namun adakah dia seorang pelayang? Atau lebih tepat lagi, wajarkah kita merujuk perihal pancing layang dari watak-watak sebegini? “Tidak” mungkin satu jawapan yang agak keras namun kita semua harus berhati-hati. Golongan ini tidak lebih hanyalah poseurs yang mempunyai agenda tersembunyi – spesis parasit yang banyak menular di hampir semua situasi dan institusi di akhir zaman ini – yang membawa lebih banyak kebobrokan daripada kebaikan. Jadi sebelum mana-mana soalan diajukan, lebih baik pastikan dulu siapa di hadapan kita itu.

‘Guru’ yang dimaksudkan itu pula tidak semestinya seorang Pengajar Layangan Bertauliah (Certified Casting Instructor); atau pemilik perkakasan yang mahal dan gempak; ataupun seorang pelayang yang kerap muncul di media massa atau jaringan sosial memegang spesimen besar dan eksotik. Dia mungkin hanyalah seorang insan rendah diri yang menunggu pelanggan di gerai bukunya; atau seorang pemuda yang sedang khusyuk mendengar kuliah pensyarahnya; atau mungkin juga seorang pengusaha perkhidmatan bas sekolah. Dalam perjalanan pancing layang ini, hampir kesemua aspek perlu diteliti dan dilihat menjangkau apa yang tersurat. Termasuklah pemilihan guru kerana konsep pengajaran dalam bidang ini bukan hanya tertumpu pada ilmu teknikal semata-mata, tetapi yang lebih utama adalah perhubungan kesaudaraan dan persahabatan yang ikhlas; antara manusia dengan manusia dan manusia dengan alam.

Nah, kalau tadi ada bermacam disiplin nak kena belajar; sekarang sudah masuk pula bab etika dan kerohanian. Dalam dunia hari ini, yang serba dipenuhi dengan machosisma dan keegoan tuli, elemen macam ini kedengaran lembik – boleh diibaratkan macam budak lelaki Orang Asal lembut Darjah 2 berjerawat batu yang sering diejek kawan sekelas. Pondan dan asing. Sudahlah nak belajar bukan main susah, nak cari orang yang boleh ajar lagi susah. Duit lagi, tenaga lagi, masa lagi. Kalau sudah habis faham semua yang dipelajari, bukan boleh jadi macho pun – bukan boleh digelar hebat, berkaliber pun – bukan boleh bergesel bahu melepak tangkap gambar dengan geng pancing yang cool dan popular pun – bukan boleh jadi cover page majalah pancing popular tanahair pun – dan yang utamanya bukan boleh dapat ikan besar pun. Patutlah pelayang ini digelar manusia poyo – kerap menjadi bahan jenaka – sebab suka menyusahkan benda yang tak susah – dalam usaha untuk menjadi cool – tapi sampai ke sudah tak jadi cool juga. Kasihan.

Jadi – masih berminat nak mencuba pancing layang…?

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s