Pancing Layang (I)

Percayalah apabila artikel ini merupakan versi ketiga yang lebih mellow – kerana versi pertama telah dicantas secara diplomasi oleh pihak editorial di atas sebab-sebab ketara; manakala versi kedua (yang jauh lebih panas dan kontroversial) telah dibawa oleh komputer riba HP Pavilion ‘bersama ke syurga’ minggu lepas. Nasib. Oh, betapa akan menjadi panasnya punggung beberapa kutu berahak kalau versi itu yang diterbitkan. Apapun, mungkin hari untuk itu masih belum sampai. (Hardisk telah dihantar ke Pusat Servis HP untuk recovery. Mari berharap untuk keajaiban).

Kebelakangan ini, banyak elemen ironis yang terjadi. Ironis (Bhgn. 1) – Artikel pertama telah dicetak dengan bergayanya di bahagian hampir-belakang majalah di atas kertas lebam tidak berkilat (“Terima kasih”, Tuan Editor). Ironis (Bhgn. 2). Dan sepertimana tertulis di dalam artikel pertama bahawasanya hampir kesemua para pemancing kita sebenarnya lebih tertumpu dan tertarik kepada jangkitan imej ‘ikan besar’ juga meleset apabila cover page jilid majalah itu (yang memaparkan alkisah tiga ekor sebarau mega tanah pepatih yang kejung tergantung di tangan seorang pemancing ala-ala profesional) ‘dimamah-rakus’ di alam jaringan sosial maya.

(Atau adakah ia sebaliknya…?)

Apa pun, yang aku tahu, semua ini tidak akan terjadi jikalau semua mereka itu pelayang. Kenapa? Sebab pada asasnya tidak akan wujud cover page sebegitu, kerana zahiriah pelayang kita ini yang tidak akan mempunyai walau sekelumit peluang untuk menaikkan sebarau, apatah lagi sebarau sebesar itu. (Haha!). Oleh kerana inilah penting untuk kita muhasabahkan dan tetapkan apakah yang menyebabkan kita jatuh minat dengan pancingan layang ini. Cari atau ikut kawan? Mahu glamor? Senang nak dapat ikan? Menjadi pemancing universal? ………………………….???

Bak kata Zack de la Rocha, “Your friendship is a fog – that dissappears when the wind redirects.” Percayalah, dunia hari ini, kita sepatutnya mesti lebih berjaga-jaga terhadap sahabat daripada musuh. Sebab kualiti dan keikhlasan persahabatan hari ini boleh ditimbang dengan penimbang runcit saja. 7 daripada 10 persahabatan yang terjalin hari ini mempunyai satu-hala atau dua-hala agenda tersembunyi. Jadi berhati-hatilah. Ada banyak lagi cara lain untuk mencari persahabatan; pancing layang (dan Facebook) bukanlah dua daripadanya.

Dan kalau jadi pemancing layang di Malaysia ni tak perlulah mimpi untuk jadi glamor. Sila beritahu berapa banyak pemancing layang yang dijadikan cover page majalah pancing tempatan? Sila beritahu berapa kali kau tengok trip pancing layang dijadikan menu utama DVD pancing Malaysia? Glamor mananya, tersisih lagi adalah. Pancing layang tidak pernah glamor; tidak di Malaysia, tidak di Australasia, tidak di Eropah, tidak di Amerika atau di mana sahaja. Pemancing layang adalah minoriti – dan senantiasa selesa menjadi minoriti.

Dan pancing layang senang dapat ikan (besar)? Sila jangan buat lawak. Kesilapan dan ketidakwarasan kau akan terbukti berganda jika menganggap ianya sebagai salah satu teknik (yang senang) untuk dapat ikan. Ia sebenarnya juga bukan sekadar teknik alternatif untuk memancing ikan. Kau perlu tahu itu. Tetapi jangan silap tafsir; pelayang juga adalah pemancing biasa. Dan pemancing mana yang memancing tidak mahu ikan (besar). Hanya pemancing ‘mati pucuk’ saja yang tak mahu ikan. Seperti yang Lefty Kreh katakan, ‘Jika kau mahu ikan, tetapkan mindset untuk itu sebelum keluar memancing. Tetapi jika kau berakhir dengan tiada ikan, jangan biarkan perkara itu mengganggu kau. Buat yang terbaik dalam situasi itu dengan mencari keseronokan dan kepuasan dengan cara lain. Dan jika kau berani melihat menjangkaui ketaksuban terhadap mendapat ikan, kau akan sedar ada banyak lagi benda yang diseronokkan’. Dengan kata lain, jika kau membuat keputusan untuk menjadi seorang pemancing layang, belajarlah untuk tidak dapat ikan. Percayalah, jika kau berjaya buat ini, anda tidak akan sekali-kali pulang ‘tangan kosong’.

Dan walaupun sebenarnya tiada salah langsung jika ada niat di benak kau untuk menjadi seorang pemancing universal tetapi jangan haraplah kau akan akan menjadi bagus dalam satu apatah lagi kesemua genre yang dikendong itu. Mustahil. Jika dilihat di luar negara kita, semua pemancing terkenal merupakan pemancing yang pakar dalam satu-satu bidang sahaja. Inilah dinamakan ‘pengkhususan’ (specialization) – dan hanya orang yang mampu dan berani menjadi ‘khusus’ (specialized) sahaja yang boleh menjadi istimewa (special). Tetapi jika kau memang mahu sangat mencuba kesemua teknik pancingan dan anda seronok hidup dalam mediocrity, teruskan. Tak salah di sisi mana-mana undang-undang pun.

Tetapi sila jangan tersilap –  ‘specialized’ tiada kena-mengena langsung dengan ‘purist’. Ramai orang yang keliru dengan dua perkataan ini. Menjadi ‘specialized’ adalah perlu, menjadi ‘purist’ adalah pilihan. Bayangkan satu horizon yang terasing, cukup luas untuk diteroka – inilah konteks rangkuman ‘specialization’. Dari horizon ini, boleh wujud bermacam lagi elemen dan unsur baru yang diinspirasikan daripada asas yang sedia ada. Kemudian di antara elemen dan unsur baru yang muncul ini, terselit satu konsep dan penyenaraian tatacara serta peraturan ketat melebihi etika asas yang difikirkan sesuai dan lojik. Konsep kecil ini mula diwar-warkan dan diberikan hype secukupnya sehingga ianya menjadi satu ‘piawai’ yang ‘patut’ diikuti. Beginilah lahirnya praktis ‘purisme’. (Masih ingat dengan Pakcik Fred Halford?) Mungkin kerana ingin memastikan darjat pancing layang ini kekal dalam kelas tingginya yang tersendiri. Ataupun mungkin semata-mata thrill untuk mencabar diri sendiri. Who knows? Apa yang ingin ditekankan di sini adalah ianya masih perkara yang mempunyai akar-umbi yang sama, bezanya hanyalah pada kehendak dan pilihan masing-masing.

Dalam satu bidang yang cukup cerewet dan teknikal sebegini, jika purisme adalah perkara pertama yang dipersembahkan kepada khalayak, maka kau akan berakhir dengan melayang bersendirian. Sekurang-kurangnya di Malaysia. Tiada yang salah pun dalam hal ini. Aku juga tidak kisah jika ada yang mahu sangkut cacing atau perut ayam atau ‘bamboloo’ di hujung tippet. (Sebab aku pun kadangkala buat juga. Haha!) Buat saja – buat apa yang akan buat kau gembira dan tak kacau orang lain. Namun diharapkanlah perbuatan itu akan dapat menambah minat dan usaha kau dalam bidang pancing layang ini. Cari jawapan kepada persoalan yang timbul sehingga menyebabkan kenapa kau terpaksa ‘menyangkut’. Proses sebeginilah yang seronok. Kalau selamanya dok sangkut, sampai ke sudahlah kekal bebal.

Dan jangan sekali-kali peduli dengan apa yang orang kata. Kau nak melayang di kolam bayar sahaja secara ekslusif menggunakan peralatan ribu-ribuan? Silakan. Kau nak mensasar ‘anak toman’ sahaja bila melayang di Belum atau Kenyir? Silakan. Jika itu memenuhi definisi keseronokan untuk kau, siapa mereka untuk berkata sebaliknya? Selagi kau tak jentik testikel orang itu, selagi kau tak minta emak-bapak sang pencakap itu untuk bayar zakat fitrah kau, selagi orang itu bukan Lee Wulff atau Mel Krieger (They are Dead!), kau wajib abaikan saja. Buat sajalah apa yang kau nak buat. Tiada faedah kau layan watak-watak lahanat mangkuk-hayun yang menjenguk itu. Orang Malaysia memang selalunya macam itu – lebih-lebih lagi bangsa Melayu aku sendiri.

Sememangnya menjadi pelayang di tanah tumpah darah kita ini memerlukan satu sifat kesabaran dan ketahanan yang luar biasa. Serius (Bhgn. 1). Golongan yang memperlekeh ini tidaklah ramai dan kebanyakannya (seperti yang dijangka) berselindung di sebalik tirai Facebook saja – tapi hairannya mereka ini agak konsisten. Dan inilah juga golongan yang direlevankan dalam versi pertama dan kedua artikel ini. Tetapi jangan risau kerana hakikatnya manusia-manusia ini tak tahu satu apa pun pasal pancing layang. Serius (Bhgn. 2). Ada juga sesetengah yang trampil tahu dan cakap tak mahu kalah tetapi hakikatnya adalah hampas sawit busuk yang sehampas-hampasnya hampas. (Oh, ini bukan tuduhan kosong sebab aku kenal beberapa manusia ini). Entah bagaimana mereka boleh dapat kepuasan dan keseronokan mentertawakan orang lain, tidaklah diketahui. Ada permasalahan psikologi / personaliti kot? (Ahem!) Tapi kau patut ketawakan mereka kembali – sebab kalau mereka ketawakan kau kerana kau ‘lain’, kau ketawakan mereka semula kerana semua mereka ‘sama’ saja – tiada lebih, tiada kurang –  tiada integriti, tiada identiti.

Mencabar juga nak jadi seorang pelayang, bukan? Mana ada benda dalam hidup ni yang tak susah, der. Ianya akan menjadi lebih susah kalau anda silap membuat pilihan. Jadi fikir baik-baik samada betul kau nak jadi seorang pemancing layang. Apa pun keputusan kau, akan dihormati sehabis baik. Tapi jika kau ingin teruskan juga niat untuk menjadi seorang pelayang di Malaysia, tetapkanlah sebab utama kau mengambil langkah ini beserta keikhlasan yang tidak berbelah bagi – kerana inilah elemen yang paling penting sekali. Bertahun aku mencari jawapan kenapa ramai di antara kawan aku (dan bekas kawan) yang berhenti pancing layang tetapi sahabat baik-ku sepanjang zaman, Al Pago memberikan rungkaian jawapan yang paling tepat (dan sedikit sinis) di forum Malaysian FlyRodders (MFR is dead!) – ‘semuanya terletak pada sebab mereka bermula’. Genius!

Kenapa aku bermula? Sebab aku mahukan kelainan. Aku bosan mengikuti norma hidup yang semacam telah ditentukan jalannya – yang telah ditunjukkan denainya. Aku bosan mengikut norma hidup yang dihisap tanpa henti oleh golongan yang suka mengambil mudah. Benda yang sama diulang-tayang. Tiada identiti. Tiada integriti. Aku mahukan satu platfom di mana aku boleh bereaksi dalam zahir seni dan sains ini secara kreatif dan bebas dalam gelungan cabaran dan risiko. Aku mahu menghabiskan masa bersama dengan orang-orang istimewa yang berkongsi pemahaman idea yang sama. Ya, pilihan perjalanan ini adalah pilihan yang lebih susah – kerana aku sedar pancing layang bukanlah sekadar satu teknik pancingan ikan – tetapi lebih sebagai satu gayacara hidup yang merangkumi semua aspek. Walaubagaimanapun aku puas kerana aku buat apa yang aku mahu buat, berjaya mencabar diri sendiri dan di masa yang sama berharap untuk menempa segenap keseronokan dan secebis kejayaan.

20 Mac 2001 – tarikh pembelian joran dan kekili layang pertamaku (hasil dari duit upah bedah siasat mayat). Tarikh ini juga menjadi saksi kemerdekaan diri ini daripada belenggu kebiasaan. 16 tahun adalah angka selama mana aku berada di dunia pancing layang ini. Masih ‘hijau’ jikalau direlatifkan dengan pelayang lain. Tetapi kerenah birokrasi dan bobrokasi keseluruhan sistem, industri, scene dan sikap kebanyakan manusia di arena pancingan di Malaysia ini mempercepatkan proses pendewasaanku. Hari ini – walaupun macam-macam deskripsi aku letak di artikel pilot dalam perenggan pengenalan diri itu – aku lebih selesa dikenali sebagai seorang penulis pancing layang (fly fishing writer) – walaupun aku sudah tidak lagi menulis sekerap yang diingini. Tetapi itulah hakikatnya. Hari ini aku lebih berminat untuk meneroka aspek ‘kenapa’ daripada ‘bagaimana’ atau ‘di mana’ mereka melayang. Zaman itu sudah berlalu. Dalam era di mana perairan tanahair kehilangan darjat dan mandatnya setiap saat, itulah setinggi-tinggi etika dan purisme mana-mana pelayang perlu ketahui dan miliki. Jika anda bermula dengan sebab yang betul dan ikhlas, sudah pasti anda akan lama di sini.

Sedarlah yang semua ini dilakukan semata-mata untuk menolong kamu orang semua. Aku mengolah dan menaip sejumlah ayat dan perkataan ini sampai sengal-sengal belikat kanan ini hanya kerana tidak mahu terjadinya pembaziran masa, tenaga dan wang ringgit untuk sesuatu yang tidak akan kekal. Agak ironis (Bhgn. 3) bila perkara ini dilakukan oleh seseorang yang mata pencariannya bergantung penuh pada jualan peralatan pancing layang. Namun hakikatnya, aku lebih rela kehilangan 10 pelanggan daripada melihat senario ‘persaraan’ seseorang selepas 3 atau 6 bulan atas alasan-alasan longlai.

Beginilah, jika kau masih sangsi dan tidak pasti, aku bagi satu persoalan ultimatum; ‘Adakah kau akan menghabiskan masa berjam-jam untuk melayang seketul lelayang #24 Parasol Midge berwarna ungu dan jingga kepada seekor ikan buta tidak bermulut yang bergerak selaju 70km/j di jeram dalam berarus laju?’ Jika kau jawab ‘ya’, tahniah kau baru sahaja melepasi tahap pertama dalam proses menjadi seorang pelayang. Jika ‘tidak’ adalah jawapannya, maka masuklah ke dalam bilik pancing kau dan mula gilap serta tukar matatiga pada gewang rare itu – kerana kau akan perlukannya tak lama lagi. Percayalah.

(Dan bagi juga mereka yang kurang bertuah menjawab ‘ya’ tadi, artikel akan datang akan membincangkan tentang aspek ketiga dan terakhir dalam bab pengenalan pancing layang ini; ‘Bagaimana’.)

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s