Pancing Layang (II)

Ini tajuk yang cukup tricky – bukan semata-mata dari segi isi kandungan tetapi juga dari cara pengolahan bahasa. Ini mungkin tajuk pertama yang mana, nak tak nak, aku terpaksa membunga-bungakan juga sedikit bahasanya. Kalau tak, macam tak kena pula penyampaiannya. (Kau orang mesti sudah mula berkeriut kening dan berpeluh dahi di tahap ini – maaf. Haha!) Para pembaca (3 orang saja pun termasuk aku) pun kali ini terpaksa disarankan supaya menggerakkan sedikit sisi artistik kau orang. Tapi bukanlah susah mana pun – baca sekali dua fahamlah. Tapi kalau tak faham-faham juga, boleh email terus ke riki.liskandarsyah(AT)gmail dan aku akan cuba sehabis baik mencerahkan apa yang gelap.

Jadi, bagaimana nak melayang ini? ‘BAGAIMANA’? Cukupkah sekadar “tahu” melayangkan tali? Cukupkah sekadar “tangkas” mengikat Clouser Minnow #4 berwarna chartreuse? Cukupkah sekadar ‘”gah” dengan pemilikan kombinasi joran dan kekili yang terhangat dan termahal di pasaran? Cukupkan sekadar “hebat” berdampingan dan melayang bersebelahan selebriti pancing layang? Tidak – kerana sesiapa sahaja boleh berbuat begitu. Sebenarnya, asas atau permulaan untuk aspek ‘bagaimana’ ini tidak berkait langsung pun dengan semua fakta yang disebutkan di atas.

Dalam ‘karier’ singkatku sebagai ‘penjual barangan pancing layang’ ini, aku ditemukan dengan banyak jenis pelayang baru dalam tahap yang berbeza. Setiap seorang memiliki personaliti dan persepsi yang berlainan (namun menarik) terhadap sukan pancing layang ini. Dan secara jujurnya, aku belajar banyak perkara daripada mereka ini. (Nak diterangkan satu-persatu dalam artikel ini jenuh pula yang membacanya nanti. Jadi kita ambil yang harus sajalah). Dan dalam ramai-ramai pelayang baru ini, aku cukup kagum dan hormat dengan seorang ini. Dia seorang gadis kacukan Cina-India – bukan tipikal pelayang yang terdiri dari kaum lelaki (yang merasakan kemaluannya paling besar di dunia). Cara dia mendekati pancing layang ini cukup lain daripada yang pernah aku lihat dan tahu – ditambah dengan elemen kerendah-dirian dan sifat ingin-tahu yang cukup tidak-konvensional. Dalam proses bertukar-tukar email, dia tak pernah sekalipun bertanya tentang peralatan pancing layang atau memberikan persoalan tentang jenis umpan lelayang (agak aneh bagi seseorang yang baru nak berkecimpung), apatah lagi tentang spesis atau saiz tangkapan. Aku masih ingat antara soalan-soalan pertamanya (dalam bahasa Inggeris) yang berbunyi lebih kurang begini; “Everyone’s a different game, don’t you think it’s important to make fly fishing unique to each individual for better apprehension & adaptation? / Setiap orang adalah berbeza. Jadi pentingkah untuk kita menjadikannya unik untuk setiap individu supaya senang difaham dan dipraktis?” Dia bertanya lagi, “If we want to start fly fishing, how romantic should a person be? / Bagaimana romantisnya seseorang itu perlu jadi jika dia ingin menjadi seorang pelayang?” (Kalau dibaca mengikut pemahaman yang berbeza, memang boleh menimbulkan fitnah hubungan sulit ni). Gulp! Tetapi dari seorang (bakal) pelayang kepada seorang pelayang yang lain, aku faham sepenuhnya maksud soalan-soalan itu – cuma yang sedihnya, aku tak boleh menjawab satu pun daripadanya. 7 hari – itulah masa yang aku perlukan untuk menyediakan jawapan yang aku rasa terbaik dan selamat. Dan balasan tunggal ringkasku berbunyi, “To be honest, I also don’t know. / Secara jujurnya, aku sendiri tak tahu”.

Ianya tidak habis di situ. Selang 2-3 hari dia akan mengajukan soalan demi soalan yang cukup elusif. Satu hari, apabila tiba giliran aku mengajukan soalan kepadanya, aku bertanya, “Why fly fishing? / Kenapa memilih pancing layang?”. Dan dia memberikan jawapan pada aku yang tiada pelayang dalam dunia ini pernah aku dengar berikan – “Because it’s beautiful. / Kerana keindahannya”. Mungkin juga kerana dia seorang wanita, yang melihat setiap perkara dan benda itu dari sudut yang sepenuhnya berbeza daripada lelaki, namun dari saat itu, pelayang atau tidak, aku tahu dia seorang yang istimewa. Dan di saat itu juga, aku membayangkannya sebagai seorang gadis pertengahan 20-an yang cukup hot; mempunyai rupawajah yang eksotik dan cantik, berbentuk tubuh gebu menggiurkan dan suara yang seksi, saling tak tumpah seperti April Vokey – yang terus akan jatuh cinta kepadaku pabila kami bertemu nanti. Kemudian kami akan berkahwin dan menjadi superpower couple selepas Lee & Joan dalam dunia pancingan layang ini, mengembara ke serata dunia untuk menduga setiap perairan dan spesis, membeli sebidang tanah yang disempadani sungai berair jernih yang penuh dengan sikang dan sebarau, dan dikurniakan anak-anak yang comel dan cerdas yang akan dilatih sedari kecil untuk mengendalikan joran layang vintage fiberglass dan menghargai keindahan perairan dan ……………………… – cincin platinum di jari manis kiriku secara ganas menyentak lamunan dan membawa kembali diri ini ke alam realiti.

(Alah, kau orang pun kalau dihidangkan dengan situasi yang sama, jangan tipulah kalau tak berfantasi macam ini.)

Semua ini memberikan aku pencerahan tentang bagaimana yang idealnya pancing layang ini patut dimulai. Seperti apabila kita baru membeli sebiji telefon bimbit; perkara pertama yang akan dibuat, sebelum membuat panggilan atau menghantar SMS, adalah merujuk buku manual, kemudian menetapkan masa dan tarikh, memahami gaya navigasi, susunan menu dan sebagainya. Kita pastikan semua perkara asas & wajib diselesaikan sebelum telefon bimbit itu bersedia untuk digunakan secara efektif. Kebanyakan orang akan berbuat begini – kerana ianya lebih straighforward. Namun ‘segelintir’ dari kita (mungkin dlm konteks smartphone ni ‘kebanyakan’ kedengaran lebih lojik) tidak terus menggunakan telefon itu terus. Sebaliknya kita tukar wallpaper, kita tukar nada dering, kita sarungkan housing lain – kita jadikan telefon itu unik kepada diri kita sendiri. Dan pengakhirannya kita akan mengecasnya pula supaya ia mempunyai cukup tenaga untuk penggunaan seharian. Kita buat semua ini secara tertib supaya telefon bimbit itu mudah digunakan sebaik-baik penciptaannya – selain daripada keunikan tetapannya yang menjadi satu refleksi penyesuaian identiti untuk kita.

Samalah juga dengan pancing layang – awal sebelum kita cuba mengangkat joran dan melayang tali atau mensisipkan benang ke bobbin holder – bukan kemahiran atau kewangan (walaupun ini semua akan diperlukan kemudian), tetapi keperluan untuk menyediakan satu pemahaman minda yang ampuh supaya kita boleh menjadikan pancing layang ini unik untuk kita – corakkan ia mengikut acuan kita sendiri – untuk pemahaman dan pengaplikasian yang lebih efektif untuk kita. Dan ada dua cara utama tentang bagaimana untuk mendapatkannya. Sastera adalah kaedah terbaik untuk mengenali sesuatu tanpa interaksi secara langsung. Hari ini ianya merupakan suatu kaedah yang serba asas – dan dengan jaringan internet yang sedia-ada, ianya berada hanya di hujung jari. Terdapat banyak buku dan artikel, di perpustakaan atau di lawan sesawang, yang memaparkan dan membincangkan tentang perkara-perkara yang berkaitan dengan pancing layang ini. Media sosial berpaksikan pancing layang juga semakin bersepah hari ini dan sedikit-sebanyak berjaya memainkan peranan penting dengan menyediakan platform interaktif. Janganlah mulakan pencarian pada model rod grafit paling ringan di dunia atau kemeja PFG yang paling cepat kering. Mulakan pembacaan dengan penulisan yang menjurus ke arah pensejarahan dan etika. Ikuti evolusi dan inovasi sejarah itu sehingga ianya menjadi seperti hari ini. Analisa perbezaan tentang apa yang telah dan cuba dibawa oleh pelayang-pelayang di pertengahan abad ke-17 dan abad ke-21 itu. Fahami setiap kelakuan dan permasalahan dalam aktiviti pancing layang dari mula hingga sekarang – pasti ada sebab-sebab terbaik perkara-perkara itu terjadi.

Sememangnya tidak mungkin semuanya boleh dicedok-pakai tetapi pasti di antara itu ada sesuatu yang boleh memberi inspirasi. Mungkin perlu baca lebih banyak, fahami lebih dalam dan kaji dengan lebih teliti – pasti ada yang tersirat yang positif untuk garis panduan diri kita sebagai pelayang. Sejurus jumpa, aplikasikan dalam minda dan sanubari. Dengan ini sahaja akan mula mendapat jawapan serta nampak kesinambungan antara elemen romantis dan kebebasan, unsur seni dan sains, di dalam sukan pancing layang ini.

Namun, pembacaan sahaja tidak akan boleh lengkap. Walau secanggih mana pun teknologi maklumat hari ini, ia tidak akan dapat mengatasi kapasiti dan fleksibiti yang ditawarkan oleh maklumat yang dibawa oleh manusia. Di sinilah pentingnya hubungan antara manusia dengan manusia – salah satu rukun matlamat ketamadunan. Persahabatan dan perhubungan akan memberikan kita satu media yang lebih efisyen, interaktif & tidak terbatas. Aku berani mengatakan yang seseorang itu tidak akan mencapai tahap persiapan yang dikehendaki jika tidak ‘berhubung’ dengan golongan pelayang yang sudah mapan. Mereka akan membetulkan pemahaman yang tak lengkap, mereka akan menghuraikan kekeliruan yang bercelaru, mereka akan memimpin tangan semasa melayang, mereka adalah mata tambahan semasa mengikat lelayang. Mereka ini boleh memberi 100 kali ilmu lebih banyak dan efisyen daripada mana-mana buku dalam garis masa yang sama. Dan yang terbaiknya, setiap mereka yang aku kenal secara peribadi ini, mempunyai satu kesediaan sifat perkongsian dan kemesraan yang cukup terhormat. Carilah mereka – bersahabat dan bergurulah dengan mereka – mereka mungkin bukan manusia yang kerap menghiasi halaman sosial media atau majalah pancing tempatan, atau manusia yang ditaja juta-juta oleh mana-mana jenama, atau manusia yang kerap keluar di ruangan Www.RotiKaya.Com akibat barisan artis wanita muda murahan yang bersilih-ganti didampinginya – tetapi mereka bukan elusif. Mereka akan ikhlas berjalan bersama di dalam pengembaraan pancing layang anda.

Sebelum ini aku ada tanggapan hipotesis yang hanya mereka yang berseni sahaja yang akan berjaya mengharung kehidupan sebagai pelayang di Malaysia ini. Jika dilihat memang rata-rata pelayang di sekelilingku merupakan mereka yang berminat dengan elemen seni yang lain seperti seni muzik, seni lukis, seni puisi, seni pena, seni kraftangan, seni ukir, seni fotografi. Mungkin darah seni mengalir di dalam badan mereka yang membolehkan mereka melihat seni dalam pancing layang ini menjangkau penglihatan orang lain. Ya, mereka ini akan kekal lama – dan sememangnya masih di sini. Ini adalah golongan bertuah yang tidak perlu melalui proses penyediaan minda kerana minda mereka sememangnya sudah lama bersedia – sejak dari dalam rahim lagi. Walau apa cabaran dan hasutan yang mereka tempuhi, mereka masih mereka – seperti yang aku kenali dulu. Mereka mungkin tidak turun bersama ke air lagi, atau bertukar lelayang setiap hujung minggu lagi – tapi aku pasti hati mereka masih di sini. Tetapi sedikit malang bagi mereka yang selebihnya, yang tidak dilahirkan sebagai manusia yang mempunyai seni tetapi di masa yang sama tidak pernah berusaha untuk menggapainya – dan sudah berhenti melayang atas alasan kusam ada hobi lain yang lebih ‘cool’ dan ‘in-trend’ – aku terpaksa mengatakan selama (kononnya) mereka seorang pelayang itu, mereka telah membazirkan segenap masa dalam hidup. Mereka inilah yang merubah hipotesis aku menjadi teori.

Maka sebelum membeli joran atau mendaftar dalam kelas mengikat lelayang – sediakan diri anda terlebih dahulu. Sediakan minda, fahami etika dan tetapkan nawaitu. Walaupun ini semua tidak akan menjamin anda akan kekal melayang sehingga ke penghujung perjalanan tetapi sekurang-kurangnya anda akan berada dalam satu jangkamasa yang signifikan di sini. Sekadar ‘minat’ dan ‘ingin tahu’ takkan membawa anda ke mana-mana. Dan jika tidak kerana Lisa, aku tidak mungkin mempunyai walau sekelumit idea untuk menulis secara panjang lebar artikel berkenaan aspek ‘bagaimana’ ini. Mungkin masih boleh tetapi perungkaian pasti akan lebih berkisar tentang aspek teknikal dan taktikal – yang mana pada satu tahap boleh jadi membosankan. Lisa masih menghantar email dari masa ke semasa walaupun kadar kekerapannya sudah jauh berkurangan (mungkin aku berjaya juga menjawab sedikit sebanyak persoalannya?). Aku masih juga belum berjumpa dengan dia – dan aku (jujurnya) tiada perancangan untuk berbuat sedemikian. Dan sampai ke hari ini, dia masih belum juga membeli apa-apa barangan dari KL Fly Fishing Shop – atau nampak akan membeli apa-apa dalam waktu terdekat ini. Sesungguhnya seorang gadis eksentrik. Apa-apa pun, samada dia akhirnya menjadi seorang pelayang ataupun tidak, aku harap dia kekal dengan kelunakan idelogi dan proses pemikiran yang sebegitu. Dan aku sendiri secara peribadi gembira kerana berjaya memperkuatkan persepsi seorang manusia biasa terhadap pancing layang.

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s