The Killer in Me is The Killer in You

Etika dalam hunting ini sangat jelas: kau hanya perlu buat satu bidikan paling bertanggungjawab untuk menumbangkan (membunuh) haiwan itu, dan lakukannya dengan bersebab; samada untuk dimakan, diambil kulitnya, atau mengimbangkan ekosistem alam secara manual (pest control). Berperikemanusiaan kepada trofi kau, hormat kepada jasad tidak bernyawanya, dan sedar sepenuhnya akan akibat di atas tindakan kau itu.

Perlu difahami yang jasad kujur haiwan yang ditembak itu tidak seharusnya diarak ke serata bandar, dikangkang & dipamer seperti pelakon porno tua di ranjang kabaret, atau digunakan sebagai papan sasar untuk menala kemahiran bidikan kau.

Dalam hunting, ada permulaan dan pengakhiran tatkala kau melakukan satu kill-shot – kerana sebutir peluru yang menembus jasad tidak akan boleh dituntut lagi untuk sang haiwan itu dibiarkan hidup untuk diburu lagi di masa hadapan.

Relatif dengan konsep pancingan catch & release yang masih kelabu, aku cukup mengagumi kejituan aspek sebegitu, tapi aku harus akui yang semakin dalam aku mengkaji genggaman aku pada perkara ini, semakin aku tak faham kenapa aku mengamalkan catch & release ini.

Undang-undang & stigma industri menagih aku untuk melepaskan mana-mana spesimen yang dianggap rare; rare dari segi spesisnya, rare dari segi saiznya ataupun rare dari segi harganya. Dan seperti kebiasaan, aku akhirnya akan melepaskan ikan itu; diiringi persepsi yang aku atau sesiapa akan boleh menangkapnya lagi di kemudian hari – dan juga di atas sebab yang sesetengah spesis ikan ini lebih menarik untuk dipancing daripada dimakan. Jadi jika aku dipaksa untuk menjelaskan kenapa aku mengamalkan catch & release, jawapannya cukup senang; aku seorang yang mementingkan diri (selfish). Selfish kerana aku hanya memikirkan keseronokan diri aku sendiri, dan memikirkan kebajikan ikan itu secara tak langsung sahaja. Dan pula, aku hanya ghairah terhadap kebajikan yang akan menimbal balik kepada kelangsungan keseronokan yang ikan itu akan sajikan kepada aku di masa hadapan.

Aku sampai ke satu tahap di mana untuk meyakinkan diri yang diselubungi segenap rasa bersalah & mencari alasan untuk trade-off kepada sikap selfish aku itu, aku akan cuba menyumbangkan daya kudrat dalam aktivisma berkait-rapat dengan proses pemuliharaan spesis. Aku mengandaikan yang mana semangat & kudrat sebegini akan berkekalan & meningkat jika aku terus memancing spesis-spesis ini.

Tapi letak tepi segala asbab-musabab ini, hakikatnya aku akan tetap berjuang untuk mereka. Aku sudah terlalu lama menjadi pemancing di tanahair aku ini, manakan boleh aku lupakan semua ini macam itu sahaja. Jadi ya, selfish merupakan satu-satunya sebab aku mengamalkan catch & release dan tiada jawapan lain yang aku boleh adun untuk rasionalisasian.

Dalam memancing ini, kod etika dalam catch & release adalah jauh lebih kompleks dan pelbagai – sama seperti mana-mana cabang sukan sekalipun. Format catch & release ini adalah satu “permainan” yang bukanlah turun-temurun. Sejarah menyaksikan yang suatu masa dahulu ikan dipancing untuk dibunuh & dimakan, dan memancing bukanlah satu keistimewaan atau permainan masa lapang.

Jadi di mana ada “permainan”, pasti ada peraturan, papan skor, rekod dan ego. Dan pada hari ini ianya dipanggil IGFA.

IGFA dibangunkan di era 40-an untuk melaksanakan satu peraturan dan etika untuk memastikan sukan ini dijalankan secara adil di antara pemancing dan ikan. Peraturan itu berbeza pada setiap spesis tetapi secara amnya dicipta untuk memberikan ikan itu sedikit peluang melawan (fighting chance). Kita tidak boleh dibantu jika peralatan jahanam, dan perambut juga perlu diikat mengikut spesifikasi tertentu (sehingga ke perpuluhan milimeter). Sistem ini sudah menjalani evolusi berdekad lamanya dan telah berjaya menghasilkan barisan pemancing, koleksi simpulan & kronologi methodologi terbaik dunia dalam waktu kita.

Tetapi salah satu perdebatan ulung terhadap IGFA adalah bagaimana organisasi ini seolah menggalakkan kita mendapatkan ikan menggunakan perambut yang sehalus mungkin. Awal tahun ini aku menjelajah tanah Australia mencari sang elusif murray cod berkepanjangan lebih dari 1 meter, memancing bersama seorang guide, Nick Rhoades yang pengalamannya berlegar di daerah Ashton yang dijolok dengan gelaran Cod’s County. Bagi seorang budak Melayu dari Malaysia yang berkelana ribuan kilometer untuk mencari spesis maha-nahas ini, aku memang nak saja menghentak straight leader monofilamen 60lb, namun di perairan itu kononnya peraturan yang diluluskan adalah 20lb dan tidak lebih dari itu, dan si Nick ini tidak boleh langsung dipujuk untuk melakukan selainnya.

Bukankah keseluruhan konsep ini nampak sangat jelek dan jauh dari adil? Mahu menarik ikan sebesar tong gas pada tippet sehalus rambut katak tidak mungkin adil kepada ikan itu. Tetapi dia menyakinkan yang aku boleh melakukannya dan jika aku tidak boleh, lebih baik potong testis aku dan bagi dingo makan – dan mala’un itu memang betul. Selepas mendaratkan murray cod sepanjang 108cm, aku sedar yang samada ianya 20lb atau 100lb sekalipun, aku tidak mungkin akan melayan ikan itu dengan berbeza.

Tapi kewujudan IGFA amat sinonim dengan kontroversi yang satu ini; bertahun lamanya organisasi itu menetapkan yang satu-satunya cara untuk menghantar tangkapan untuk dimasukkan ke dalam rekod adalah untuk membunuh dan menimbangnya. Dan apabila dunia beransur menjadi matang, kegiatan ini dianggap ketinggalan zaman. Badan dunia ini dilihat seolah tidak mahu menginjak mengikut situasi semasa dan lambat dalam menerapkan kaedah alternatif untuk proses barbarik ini. Dunia mempersoalkan mungkin teknik baru ini boleh mengurangkan kadar mortaliti kebanyakan spesis ikan gamefish tapi bagaimana dengan mersuji dan jerung yang hampir mustahil (dan bahaya) untuk diambil ukuran tepatnya tanpa perlu dibunuh terlebih dahulu. So how…? 

Dunia hari ini amat mudah untuk terpekik-terlolong seperti lotong miang jika ternampak media yang memaparkan aksi megah kita menuntun tangkapan mega tidak bernyawa untuk diperaga ke seluruh dunia untuk sekeping kertas pengiktirafan. Asas persepsi mereka adalah kebutatulian kita terhadap “pembunuhan siang hari” ini – lebih-lebih lagi terhadap spesis yang jelas sudah di ambang kepupusan. Dan dalam menggali lebih kontroversi ini, kita akan dapati yang semua kebencian dunia luar terhadap memancing ini datangnya daripada aspek paling “sport” dalam pancingan ini. Pelik? Ironis? Sebab jika kau ambil keluar catatan rekod & gemuruh tepuktangan itu tadi, mereka ini takkan langsung kacau kita & mentaliti dramatik mereka ini akan menerawang ke arah lain.

Jadi apakah asas sentimen kita; perlukah dibunuh ikan yang mahu dihantar untuk rekod? Atau hanya merekodkan ikan yang kita mahu bawa balik untuk makan?

Semasa trip aku ke Australia ini juga, belum sempat Land Cruiser kami keluar dari hiruk-pikuk pagi metropolis Sydney ke arah Queensland, Mitch (another fellow fisherman & hunter) sudah mula menggoyahkan iman aku terhadap isu ini. Dan dia mencabar aku dengan soalan; “You don’t like people hanging their fish up for records. You don’t like people using lipgrip. You don’t like photos with bleeding bloody fish in it. But it is okay for you to upload images of you with some big-ass boars or goats or bucks, that are bleeding from the right ear thanks to your awesome headshot and we all damn well know you’re not gonna eat them all up?

Saat itu aku sedar aku perlu meletakkan ini semua ke dalam konteks.

Apabila diperkatakan tentang memburu, trophy-hunting seringkali disalahertikan. Hunters sering dilihat sebagai satu sosok brutal – yang hanya mencari haiwan yang besar, garang, matang. Namun harfiahnya adalah spesimen sebegitulah yang afdal diburu & dibunuh – kerana ia telah tua & telah melepasi puncak kitaran pembiakannya. Haiwan ini selalunya adalah haiwan alpha besar yang mandul, sangat moody & obnoxious, dan cenderung untuk menindas spesimen jantan muda lain yang sedang mengalami fasa primanya. Ini adalah salah satu contoh kenapa seorang pemburu akan memilih untuk menyasar spesimen yang lebih besar & matang. Tetapi tidak untuk ikan. Kebanyakan ikan besar adalah spesimen betina, jadi perdebatan tentang kesuburan tidaklah sekuat untuk merasionalisi tindakan mereka menuai ikan itu atas dasar saiz semata-mata.

Tidak seperti anglers, hunters mempunyai privilege untuk memilih apa yang dia nak tembak. Everything is sighted. Mana sasaran yang tidak optimal, live & let live. There’s no such thing as blind shooting. So keputusan seorang hunter perlu dibuat sebelum picu ditarik. Walapun mungkin tembakan itu tidak membunuh serta-merta, pengakhiran haiwan itu tetap akan dibunuh kerana kecederaan tembakan adalah sesuatu yg irreversible. Berbeza dengan anglers, keputusan itu boleh dibuat sehingga ke tahap ikan tengah mencungap-cungap atas rumput dengan kurang dari 10% nyawa. Kalau pun akhirnya ikan itu mahu dilepaskan, apa yang perlu dibuat adalah sua sahaja ikan itu ke dalam air. Walaupun masih ada kebarangkalian ikan itu akan hidup, tetapi hakikatnya adalah once in the depth atau dibawa arus sungai, who knows whether it’s survive or not. Kan…?

Secara peribadi aku tidak akan melepaskan tembakan membunuh kepada seekor kijang jika aku sedar dagingnya tidak akan di-utilised sebaik & sepenuhnya (aku memang kuat makan tapi aku tahu aku tidak akan habis makan seorang seekor kijang) – walaupun kijang itu bersaiz trofi yang mampu menggegar scene pemburuan nusantara. Sama juga yang aku tidak akan membunuh & membawa pulang ikan yang terlalu besar atau banyak untuk aku dan keluarga aku semata-mata supaya pembunuhan ikan atas nama pencarian rekod itu tidak dicemari obligasi. Memanglah sesiapa pun akan ada keinginan nak bawa balik sekor kelah merah segar 27 kg dari sungai pergunungan Hulu Terengganu untuk dibuat bahan perdu rekod tetapi sebahagian besar isi ikan itu akan menjadi redundant jika ingin diakhiri dengan menjadikannya sajian makan malam untuk satu keluarga.

Keputusan aku untuk membunuh sesuatu ikan juga bergantung kepada tahap kesihatan stok di sesuatu perairan itu. Setiap sungai menerapkan bag limit yg berbeza-beza yang ditentukan oleh kajian yang dilakukan oleh mereka yang mempunyai kuasa & ilmu. Dalam hunting, konsep ini diwujudkan lebih tegas dan cermat. Bag limit dikira dengan teliti sekali, dengan habitat menjadi parameter utama untuk peruntukan kuota; bilangan, jantina, umur, taburan & kesihatan. Namun ini tidak boleh di-apply secara direct kepada ikan. Untuk menentukan berapa bilangan & status ikan dalam air secara tepat adalah mustahil, jadi nombor & data yang mahu diwar-warkan lebih mudah diandaikan daripada disahkan. Aktiviti tagging juga masih belum menyeluruh dan terbuka maka penghasilan data masih belum boleh memberikan impak & keputusan yang boleh dipercayai setakat ini. Oleh kerana inilah seorang pemancing perlu lebih rasional & praktikal dalam berkeputusan yang diimbangi keadaan semasa. Janganlah jadi tak bijak sampai kita perlu memaksimakan apa yang dicanang pada kuota bag limit itu.

Aku membandingkan menggantung layaran di jeti dengan mengantung rusa di perdu pokok; yang mana tujuan keduanya adalah utk diperagakan & diambil gambar. Apa-apa pun, kedua kelakukan ini akan mengacau sedikit elemen keinsanan dalam diri masyarakat hari ini yang cukup senang untuk terasa offended. Bukan semua orang faham akan biologi, legislasi, kerja keras & emosi yang dicurahkan dalam proses menaikkan trofi sebegitu. Apa yg mereka nampak adalah jasad seekor haiwan yang mati diperlakukan tiada kehormatan oleh kau! Dan kemudian kau masukkan sekali senyum lebar kau itu, baju quickdry kau yang penuh bertatu jenama masakini, rod & reel mahal kau yang diperbuat dari bahan eksotika dari kayangan, dan kau jaja foto kau itu ke seluruh media sosial yang paling popular; pastinya niat kau akan dipersoal.

Dulu-dulu, apabila para lelaki pergi ke lautan biru besar atau ke dalam hutan banat gelap, untuk menombak paus atau memanah seladang, mereka & hasil buruan itu akan pulang kepada penghargaan dan perut yang lapar. Seluruh kampung akan berfungsi untuk memproses tangkapan besar itu, dan hasil itu dikongsi bersama. Tetapi itu adalah ketika manusia hidup dalam jaringan yang rapat dan masyarakat berkembang sebagai satu entiti. Sekarang tidak lagi – hari ini kita sedang menyaksikan satu peralihan yang signifikan dalam aspek ini. Hari ini orang ramai terlalu mudah untuk rasa tidak puas hati dan menjatuh hukum tidak tentu hala terhadap pemilik / pengunggah gambar haiwan yang mati. Ini adalah petunjuk bahawa kita bergerak semakin jauh dari tampuk toleransi. Kita terlalu menitik-berat sisi yang negatif sehingga mengabaikan sisi yg positif. Manusia sudah kurang menghormati sesama manusia. Manusia sudah tiada kemahuan untuk memahami perkara baru & asing. Manusia moden hari ini sebenarnya semakin kuno apabila menjadi lebih cenderung menghukum dunia sekeliling sambil bersembunyi di belakang tabir skrin paparan kristal cecair.

Secara peribadi, aku merasakan selagi perairan itu sihat, kita sepatutnya dapat mengekalkan ikan yang kita tangkap tanpa perlu dihakimi oleh masyarakat. Dalam hunting, ianya lebih straightforward – kau nak makan daging haiwan liar; go out & get it! There’s no other way. Hunters tiada “nelayan komersil” yang akan cater untuk permintaan daging landak atau pelanduk liar. Tapi bagi dunia luar, pemancing adalah pemain ala-ala budiman dalam satu permainan yang ironis; konon sedaya-upaya memastikan sang lawan berada dalam keadaan terbaik dalam masa yang sama membantainya sehingga lelah. Selfish bukan? Jadi sebagai pemancing yang diberi pilihan untuk melepaskan ikan sebagai satu tindakan murni, kita perlu berdepan dengan lereng licin apabila dihadap dengan tindakan kita dan persepsi yang dilampirkan terhadap tindakan itu. Fokus dengan tujuan kau – kerana kau sedang bergelut dengan soal hidup dan mati seekor ikan. Kalau kau masih libang-libu, leave the game early. Jangan membahayakan nyawa lain semata-mata kerana ketidakpastian kau.

Ini mungkin satu perbincangan yang indirect, tetapi apabila dikaitkan dengan penglibatan kita dalam soal hidup-mati seekor haiwan, dalam segenap variasi tahap limitasi, aku rasa kita boleh belajar satu-dua perkara dari para hunters.

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s